Pernahkah
kita merasakan kegelisahan hati dan fikiran? Seperti, kita tidak tahu
apa yang harus dilakukan, sedangkan pekerjaan sebenarnya berbukit di
hadapan kita? Pernahkah kita merasakan beban hidup yang terasa berat dan
berkumpul di kepala kita, hingga kita merasakan tidak tahu bagaimana
untuk menguranginya? Pernahkah kita merasakan tekanan dan himpitan
ekonomi yang menghalang setiap langkah kehidupan kita, tubuh terasa
lemah dan longlai, tidak tahu harus melangkah ke mana? Pernahkah kita
merasakan kegelisahan hati yang mendalam, tubuh bergetar dan semuanya
menjadi serba tidak kena dan serba salah? Kalau hal-hal seperti itu
menimpa diri kita, ia bermakna kita berada dalam kegelapan cahaya hati.
Sekarang
bayangkan orang yang hidup dalam kegelapan tanpa disinari cahaya, tentu
sahaja semuanya serba gelap, Kita hanya berpusing-pusing dan menyibukan
diri sendiri, tetapi sebenarnya tidak melangkah ke manapun. Kita
merasakan setiap langkah yang di atur sentiasa tersandung dan serba
tidak beraturan. Inilah perumpaan bagi manusia yang sedang dalam
kegelapan hidup. Hal yang sama juga berlaku jika kita tidak menemukan
cahaya hati dalam diri sendiri. Mereka yang hidup dalam kegelapan cahaya
hati bagaikan berada dalam gelap gulita di lautan yang dalam, yang
diliputi oleh ombak, yang di atasnya masih dipenuhi ombak-ombak lautan,
di atasnya lagi awan gelap gulita yang bertindih-tindihan.
Bagaimana caranya menemukan cahaya hati ?.
Cahaya
hati sesungguhnya bersumber dari cahaya Illahi yang akan menerangi hati
kita. Menemukan cahaya hati bererti kembali kepada jati diri atau
fitrah kita sebagai manusia yang jernih dan bersih. Kembali kepada hati
yang tanpa tertutup pelbagai belenggu yang menutup cahaya hati.
Sesungguhnya dalam hati ini sudah ditiupkan sifat-sifat mulia anugerah
Allah pada saat proses penciptaannya.
Cubalah
bercermin dan lihatlah kita ke dalam cermin, berapa banyak pakaian
kesombongan, pakaian riya’, pakaian dengki, pakaian takabur yang kita
kenakan? Berapa banyak pengalaman masa lalu yang negatif, pakaian ego
peribadi, pakaian pengaruh sudut pandang yang salah yang menyesatkan
dalam diri? Mari kita tanggalkan pakaian-pakain itu yang menyelimuti
hati kita dari cahaya hati yang jernih dan tajam.
Tanggalkan
pakaian kesombongan hati dengan sikap rendah hati. Tidak ada yang layak
pun untuk disombongkan manusia dalam hidup ini.
Tanggalkan pakaian dengki dan gantikan dengan cinta dan kasih sayang.
Tanggalkan pakaian takabur dan gantikan dengan kesedaran diri sebagai hamba dan abdi Allah semata-mata.
Buanglah pakaian prasangka negatif dengan mengembangkan sikap positif dalam setiap langkah kaki ke hadapan.
Kendalikan ego diri dengan menumbuhkan sikap empati kepada orang lain.
Buanglah pengaruh sudut pandang negative, mahupun pengalaman hidup lampau yang negatif.
Hindarlah prinsip hidup yang salah dengan kembali dalam kejernihan jati diri yang bersumber dari hati.
Kejayaan
dan kemuliaan dalam hidup tidak akan dapat diraih hanya dari keupayaan
fizikal diri dan kecerdasan akal fikiran. Lebih dari itu, kita
memerlukan kecerdasan hati dan kemampuan menemukan cahaya hati yang
bersumber dari cahaya Illahi.
Berbahagialah
mereka yang dapat menghidupkan cahaya hatinya, kerana mereka yang dapat
mengenali cahaya hatinya akan dapat menggapai kehidupan yang penuh
keagungan yang memandang kehidupan jauh ke depan dengan hati jernih.
Hidupnya akan dipenuhi cahaya terang dengan pelbagai kemudahan serta
kelapangan.
Moga kita saling mendapat manfaat.
Jagalah Hati…
0 komentar:
Posting Komentar