Saudara,
saya telah memulakan perniagaan kira-kira enam bulan yang lalu dengan
membuka sebuah warung makanan. Pada mulanya perniagaan berjalan lancar
tetapi setelah dua bulan, perniagaan mula merosot. Adakalanya saya hanya
mendapat sebanyak RM20 sehari. Lauk-pauk yang banyak terpaksa dibuang
begitu sahaja.
Saya
ada memanggil dukun untuk menengokkan perniagaan saya. Kata dukun
tersebut, ada orang yang telah menyihir saya. Kemudian baru saya
teringat saya pernah terjumpa sebuah bungkusan yang mengandungi tanah
dan beberapa barangan lain ditinggalkan di kedai saya dan saya terus
membuangnya ke dalam tong sampah.
Saya
ingin meminta nasihat daripada saudara, apakah amalan-amalan yang patut
saya buat bagi menghindari perbuatan sihir seperti ini.
Usahawanita, Kajang.
Jawapan :
Pertamanya,
perlu lebih berhati-hati dalam berjumpa, mendapatkan dan percaya dengan
dukun-dukun. Ini kerana Nabi saw pernah mengingatkan : "Sesiapa yang
mendatangi tukang tilik dan tukang tenung ( bagi mendapatkan bantuan
berkaitan hal ghaib), kemudian mempercayai ramalan si tukang/dukun tadi,
maka ia (yang pergi berjumpa itu) telah pun kufur dengan agama Nabi
Muhammad saw" ( Riwayat Al-Bazar & Abu Ya'la, Albani : Sahih,
Ghayatul Maram, no 285)
Kedua : Bagi melindungi diri dari sihir, yang terbaik adalah anda sentiasa menjaga solat lima waktu serta meningkatkan kualiti solat. Membaca al-Quran dan zikir secara
berterusan dan komited. Ini ternyata dari firman Allah ertinya, "
Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hamba
Ku, kecuali (kamu punyai kuasa) ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu
orang-orang yang sesat" ( Al-Hijr: 42)
Juga
satu lagi firman Allah swt ertinya, "Sesungguhnya Syaitan itu tidak ada
kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Robb
nya" ( An-Nahl : 99)
Sebelum
saya menyebut beberapa ayat yang boleh di amalkan bagi mengelak sihir,
seseorang itu perlulah jelas beberapa fakta terlebih dahulu :-
1. Kewujudan sihir telah diiktiraf oleh Allah swt di dalam al-Quran dan boleh datang dalam pelbagai bentuk.
2. Sihir boleh termasuk dalam perkara yang membawa sesuatu manfaat atau kejahatan. Ia berdasarkan firman Allah, " ... Mereka mengamalkan apa yang diajarkan oleh syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Padahal Sulaiman itu bukanlah dari golongan orang yang ingkar. Mereka mengajarkan manusia ilmu sihir, yang diturunkan kepada kedua malaikat di negeri Babylon, iaitu Harut dan Marut. Sedang keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang pun sebelum mengatakan "sesungguhnya kami hanya cubaan dan janganlah kamu kufur dan menyalah gunakan ". Tetapi manusia mempelajari dari keduanya dan digunakan (mengikut ajaran syaitan) untuk mencerai beraikan suami isteri.... Bahkan mereka yang ingkar akan merasakan yang amalannya itu semata mata menyakitkan dan tidak memanfaatkan mereka pun" ( Al- Baqarah : 102)
3)
Sihir tidak boleh berfungsi dan memberi sebarang kesan kecuali dengan
izin Allah swt, sebagaimana firman Allah swt, "..Sesungguhnya mereka
tidak dapat membinasakan sesiapa pun tanpa keizinan Allah" ( Al-Baqarah :
102 )
4) Amaran Allah dan Rasul-Nya bagi pengamal ilmu sihir :-
Firman
Allah swt, " Oleh itu mereka akan ketahui dengan sepenuhnya sesiapa
yang mengamalkan ilmu sihir, tidak akan mendapatkan bahagian yang baik
di hari Akhirat kelak. ( Al-Baqarah : 102)
Sabda
Nabi saw tentang dosa besar sihir, "Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik,
Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari
medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi adil) " (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Beberapa cara di bawah bolehlah di amalkan untuk mengelak sihir :-
1) Al-Fatihah.
2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.
Ia
berdasarkan hadis, Baginda saw telah berkata kepadaku : "Bacalah Qul
Huwa Allahu Ahad" (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq)
sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari
segala sesuatu.( At-Tirmidzi)
3) Ayat al-Kursi selepas solat ( iaitu surah Al-Baqarah ayat 255)
Dalilnya :
Ertinya
: "Sesiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selepas solat, maka
tiada siapa yang dapat menghalangnya dari memasuki syurga" (an-Nasai dan
at-Tabrani dengan sanad salah satu antaranya Sahih. Antara yang
mengatakan hadith ini sebagai Sahih adalah Ibn Hibban, Abul Hasan (guru
Ibn Munzir), Az-Zahabi, Ibn Hajar, Al-Qaradawi (Rujuk Al-Muntaqa min
at-Targhib wa at-Tarhib lil Munziri)
4)
Membaca doa ini dengan setiap hari iaitu 3 kali : "Bismillahillazi La
Yadhurru Ma'asmihi Syai un Fil Ardi Wala Fisamaie, wa huwas Sami'ul
‘Alim".
Dalilnya :-
Ertinya
: Rasulullah saw bersabda : Tiada seorang hamba pun yang berkata setiap
pagi dan petangnya : "Dengan nama Allah yang tiada siapa mampu
memudaratkan dengan nama-Nya sama ada di dunia mahu pun di langit, dan
Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" sebanyak 3 kali, kecuali
tiada apa yang mampu memudaratkannya (Sahih Muslim)
5) Membaca dua ayat terakhir ( ayat 285 dan 286 )dari surah al-Baqarah pada waktu malam
Ertinya
: "Barangsiapa membaca 2 ayat terakhir dari surah al-Baqarah dalam satu
malam, maka 2 ayat itu telah pun mencukupi baginya"(Al-Bukhari dan
Muslim)
6)
Membaca zikir : "La ilaha illah wahdahu la syarikalah, lahul mulku
walahul hamdu yuhyi wa yumit wahuwa ‘ala kulli syai'in Qodir " ( 10 kali )
Ertinya
: Bersabdalah Nabi saw, Barangsiapa menyebut : " Tiada Robb melainkan
Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya segala kerajaan dan
bagi-Nya kepujian, yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Dia Maha
Berkuasa atas segala sesuatu" sebanyak seratus kali selepas solat
Maghrib, nescaya Allah akan membangkitkan ia (di Hari Kiamat) dengan
senjata yang mampu melindunginya dari Syaitan sehinggalah pagi esoknya,
dan dituliskan baginya sepuluh kebaikan seperti pahala menunaikan
perkara wajib, dan dipadamkan darinya sepuluh kejahatan seperti
dosa-dosa besar. Dan ia setanding dengan membebaskan 10 hamba wanita islam." (Sunan At-Tirmidzi)
7) Membaca : " A'uzu bikalimatillah at-Tammati min syarrima Khalaq"
Ertinya
: Adapun jika engkau menyebut tatkala kamu berpetang-petang, “Aku
berlindung dengan kalimah Allah yang Maha Sempurna dari segala kejahatan
makhluk”, nescaya tiada sesuatu apa akan memudaratkanmu. ( Riwayat
Muslim)
0 komentar:
Posting Komentar